Ziaur (kiri) membantu mengajar anak Rohingya di Pusat Pendidikan Muhajirin Rohingya, Pandan Indah
Ampang: “Walaupun status
kami tidak diiktiraf kerajaan Malaysia namun kehidupan di sini jauh
lebih baik dan selesa berbanding kem penempatan di Bangladesh,”
kata etnik Rohingya, Ziaur Rahman Abu Siddique yang menetap di negara
ini sejak tiga tahun lalu.
Menurut
Ziaur Rahman, 24, yang dilahirkan di Buthidaung, Rakhine, Myanmar dia
tiba ke negara ini pada November 2014 selepas lebih 20 tahun menetap
di Kem Pelarian Kutupalong, Cox’s Bazar, Bangladesh sejak usianya
40 hari.
“Ibu
membesarkan saya sendirian di kem itu apabila ayah hilang ketika
menangkap ikan di lautan ketika usia saya dua tahun.
“Hidup
di sana sangat susah dan banyak peraturan yang perlu kami patuhi
umpama hidup dalam penjara dan semuanya bercatu,” katanya.
Menurutnya,
dia dan ibunya terpisah dalam satu insiden apabila dia diseludup
sekumpulan sindiket pemerdagangan manusia dari Bangladesh ke Thailand
sebelum berpeluang melarikan diri ke Malaysia.
“Saya
terlalu rindukan ibu, setiap kali kami berhubung melalui telefon dia
pasti menangis namun apakan daya keadaan membuatkan kami tidak boleh
berjumpa lagi.
“Bagaimanapun,
saya bersyukur, walaupun tiada kerja tetap namun kehidupan di sini
lebih baik,” katanya yang memiliki kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa
Bersatu Bagi Orang Pelarian (UHNCR). Katanya,
selain aktif sebagai aktivis Rohingya, dia kini melakukan pelbagai
pekerjaan sampingan bagi meneruskan kehidupan berkeluarga di negara
ini.
“Saya
berkahwin dan ada seorang anak perempuan berusia tiga tahun. Memang
banyak wang diperlukan apabila kita hidup negara orang, apatah lagi
di tengah bandar.
“Walaupun
sukar dapat bekerja secara sah di sini, saya sedaya upaya mahu
mengubah nasib kami sekeluarga,” katanya.
Sementara
itu, Shukura Begum, 18, berpisah dengan keluarganya yang menetap di
Kem Nayapara demi menjalani kehidupan selesa di negara ini.
“Saya
dilahirkan di kem itu dan puas hidup susah sejak kecil. Bekalan air
bersih terhad dan hendak membuang air serta tukar pakaian pun susah.
“Kami
tidur berhimpit-himpit dalam khemah berlantaikan tanah dan
berdindingkan kanvas.
“Sebagai
wanita, lama-kelamaan saya tertekan dan rasa tidak selamat tinggal di
penempatan itu, apatah lagi bercampur dengan lelaki,” katanya.
Katanya,
dia memasuki negara ini pada pertengahan tahun ini menerusi ejen
dengan bayaran RM7,000 yang dibantu saudara-mara yang menetap di
Malaysia.
“Atas
faktor keselamatan, saya berkahwin dengan Abdul Hashim Abdul Salam
pada Julai lalu dan kini menetap di rumah flat di Ampang.
“Walaupun
kami tidak kaya namun dengan pendapatan suami RM1,300 sebulan sebagai
pembantu kedai dapat menyara kami berdua dan membayar sewa rumah.
“Sepanjang
hayat saya, di sini baru saya rasa kehidupan sebenar sedangkan di kem
keadaan kami sukar digambarkan,” katanya.
|